Lapan Tahun Yang Dahulu

Assalamualaikum, w.b.t.

Dia... seorang anak yang tidak banyak karenah, namun dia juga seorang anak yang sangat ligat. Pernah sekali kami kehilangannya ketika kami sekeluarga sedang leka menjamu selera di Senibong. Kering darah dibuatnya bila anak saudaraku yang sebaya dengannya ketika itu (dua tahun)  mengatakan yang dia telah terjatuh ke dalam laut. Terus suamiku menyinsing seluar terjun ke laut mencari dirinya, dan aku pula bagai orang tak tentu arah mencarinya. Nasib baik ketika itu ada seorang pakcik yang perasan keadaan kecoh kami ketika itu "Anak mencari budak kecil ke?" katanya kepadaku, "Ye pakcik, anak saya hilang".. kataku dalam keadaan tercungap-cungap kepenatan "Rasanya budak tu menuju ke sana, dia tak pakai selipar kan?", balas pakcik itu sambil menuding jarinya jauh ke sana. Memang sah, itulah anakku kerana dia memang tak suka pakai kasut atau selipar.


Puas aku merayau ke tempat yang ditunjuk oleh pakcik itu namun tak juga ku temui anakku itu... rupa-rupanya dia telah jauh lagi ke atas (dalam jarak 50 meter). Ya Allah, ku lihat anakku itu terpinga-pinga dari satu meja ke satu meja mencari kami. Ku panggil namanya, dan sejurus dia melihat aku terus dia menangis.


Dia yang kumaksudkan ialah anak keduaku.. Nur Hazirah. Kini dia masih tak berubah agak ligat berbanding adik beradiknya yang lain, suka berkawan dan suka buat orang ketawa. Ada sahaja idea jenakanya. Buat Akak Azi, kami keluargamu mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran yang kelapan. Moga dirimu membesar sebagai anak yang berjaya dunia dan akhirat.... amin.