Lapan Tahun Yang Dahulu

Assalamualaikum, w.b.t.

Dia... seorang anak yang tidak banyak karenah, namun dia juga seorang anak yang sangat ligat. Pernah sekali kami kehilangannya ketika kami sekeluarga sedang leka menjamu selera di Senibong. Kering darah dibuatnya bila anak saudaraku yang sebaya dengannya ketika itu (dua tahun)  mengatakan yang dia telah terjatuh ke dalam laut. Terus suamiku menyinsing seluar terjun ke laut mencari dirinya, dan aku pula bagai orang tak tentu arah mencarinya. Nasib baik ketika itu ada seorang pakcik yang perasan keadaan kecoh kami ketika itu "Anak mencari budak kecil ke?" katanya kepadaku, "Ye pakcik, anak saya hilang".. kataku dalam keadaan tercungap-cungap kepenatan "Rasanya budak tu menuju ke sana, dia tak pakai selipar kan?", balas pakcik itu sambil menuding jarinya jauh ke sana. Memang sah, itulah anakku kerana dia memang tak suka pakai kasut atau selipar.


Puas aku merayau ke tempat yang ditunjuk oleh pakcik itu namun tak juga ku temui anakku itu... rupa-rupanya dia telah jauh lagi ke atas (dalam jarak 50 meter). Ya Allah, ku lihat anakku itu terpinga-pinga dari satu meja ke satu meja mencari kami. Ku panggil namanya, dan sejurus dia melihat aku terus dia menangis.


Dia yang kumaksudkan ialah anak keduaku.. Nur Hazirah. Kini dia masih tak berubah agak ligat berbanding adik beradiknya yang lain, suka berkawan dan suka buat orang ketawa. Ada sahaja idea jenakanya. Buat Akak Azi, kami keluargamu mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran yang kelapan. Moga dirimu membesar sebagai anak yang berjaya dunia dan akhirat.... amin.










 


 

Sekali Lagi Gempa Bumi Melanda New Zealand

Assalamualaikum, w.b.t.


Semalam, sekali lagi NZ di landa gempa bumi.  Masih lagi di tempat yang sama iaitu Christchruch.  Kejadian ini menyedarkan ramai pihak di sini, bahawa tiada siapa yang mampu menghalang kuasa alam.  Yang lebih tepat lagi, tiada siapa dapat melawan kuasa Allah.

Petikan dari Berita Harian:

2011/12/23


WELLINGTON: Gempa bumi 5.8 magnitud melanda berhampiran Christchurch, New Zealand, hari ini, menurut agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat.

Gempa bumi itu menyebabkan pengosongan beberapa bangunan awam tetapi tiada laporan awal berhubung kerosakan atau kemalangan.

Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 4.7 kilometer. - Reuters

 

Ramai yang sangat bersimpati dengan keadaan di Christchurch.  Ianya sebuah kawasan yang sebelum ini SANGAT CANTIK.  Jika tidak, takanlah Air Asia buat penerbangan terus ke sana, bukan ke Auckland (Metropolitan NZ), atau ke Wellington (ibu negara NZ).  Kebiasaannya pelancong akan ke sana dan kemudiannya meneruskan percutian ke kawasan South Island yang memang sangat-sangat cantik.

Sebenarnya kami sendiri pernah mengalami debaran semasa kejadiaan gempa bumi yang paling dahsyat melanda NZ.  Ketika itu kami sekeluarga sedang bercuti di sana.  Ianya pernah dicoret di blog lama kami, tetapi, bagi tujuan perkongsian pengalaman (bagi pembaca baru), aku rasa ada baiknya ianya di kongsi sekali lagi di sini:

 

Sejarah Memori Luka

Ya Allah, aku amat bersyukur kepadamu, kerana memanjangkan usia kami sekeluarga.. memberi peluang kepada kami untuk melihat alam ini lagi, menatap wajah-wajah insan yang tersayang dalam hidup dan diberi peluang untuk menghirup udara dimuka bumi ini lagi.


Sepanjang tujuh hari kami berada di Selatan pulau New Zealand, bermula dari 16 Februari 2011 dan berakhir pada 23 Februari 2011. Subhanallah, keindahan alam milikMu amat memukau mata yang melihat. Benarlah kata orang, New Zealand ibarat syurga dunia, gunung ganang, bukit bukau dan tasik serta pantai yang melatari keindahan alam sangat menakjubkan dan keindahannya tidak mungkin dapat dilupakan..Maha suci Allah yang menjadikan sesuatu di alam ini..

16 Februari 2011:

Kami dua keluarga menaiki pesawat Jetstar dari Auckland ke Christchurch pada pukul 7.30 petang dan sampai ke Christchurch pada pukul 8.30 malam. Ketibaan kami disambut oleh pelajar Malaysia di sana, terima kasih buat Hanif dan Saba serta Tarmizi kerana sudi menjemput, menyediakan kami penginapan dan makan minum selama kami berada di Christchurch.



Keesokan harinya kami dibawa oleh keluarga Hanif untuk melawat sekitar bandar Christchurch. Terdapat banyak bangunan-bangunan bersejarah di sini serta keadaan bandarnya yang sungguh cantik dihiasi dengan bunga-bunga yang pelbagai warna. Kami mengelilingi sekitar bandar Christchurch dengan menaiki bas double decker. Keramahan masyarakat di bumi Christchurch membuatkan kami amat selesa dan terasa seolah-olah sudah lama mengenali mereka. Sesungguhnya Christchurch memang cantik dan unik.....



Rajah menunjukkan laluan kami sepanjang berada 7 hari di South Island New Zealand.



Inilah kawasan pertama yang kami lawat ketika di Christchurch, dan kawasan ini jugalah merupakan pusat gempa bumi pada 22 Februari yang lalu.

21 Februari 2011:

Seawal pagi kami telah bangun, perancangan perjalanan pada hari itu sepatutnya kami akan melawat di dua tempat iaitu di Puzzling World pada sebelah pagi dan Franz Josef Glacier pada tengah harinya. Namun Allah telah menentukan segala, perancangan awal ke Puzzling World pada waktu pagi telah bertukar, kami terus menuju ke Franz Josef Glacier dari Wanaka dan perjalanan memakan masa selama 3 jam!!! Setelah 1 jam setengah perjalanan ke Franz Josef, tiba-tiba kami menukar rancangan untuk tidak meneruskan perjalanan disebabkan keadaan cuaca yang hujan ketika itu. Kami berpatah balik semula ke Wanaka..... tapi setelah setengah jam perjalanan berpatah balik, kami menukar lagi perancangan untuk meneruskan perjalanan semula ke Franz Josef Glacier.. bayangkanlah betapa ruginya masa ketika itu.... namun setiap yang berlaku ada hikmahnya..

Disebabkan itu, kami tidak sempat untuk ke Puzzling World pada hari tersebut dan terpaksa ditunda pada keesokan harinya. Ketika itu memanglah agak hampa kerana mengikut perancangan seharusnya seawal pagi esok kami perlu pulang dan hajat di hati ingin bersiar-siar lagi di bandar Christchurch sambil membeli cenderahati.

22 Februari 2011

Perancangan tidak seperti yang tertulis, seharusnya pada pukul 7 pagi kami perlu bertolak, sebaliknya kami memulakan perjalanan pada pukul 10.30 pg (kerana ke Puzzling World dahulu), 3 jam setengah lewat dan perjalanan dari Wanaka ke Christchurch memakan masa selama 5 jam! Sepanjang perjalanan kami ke Christchurch banyak sungguh halangan yang menyebabkan perjalanan semakin bertambah lambat, keadaan jalan yang licin dan hujan serta halangan dari kambing biri-biri yang melintas jalan menyebabkan masa semakin suntuk kerana kami perlu sampai ke Christchurh secepat yang mungkin atas urusan membeli cenderahati, pemulangan kenderaan yang disewa, pemulangan perkakas-perkakas yang dipinjam dari keluarga Hanif dan penerbangan kami balik ke Auckland sepatutnya dijadualkan pada pukul 6 petang.



Kambing biri-biri yang menghalang perjalanan kami.

Masa terus berlalu lagi satu jam setengah menghampiri bandar Christchurch, kami mendapat panggilan dari salah seorang sahabat dari Auckland memaklumkan kepada kami bahawa gempa bumi melanda Christchurch. Ketika itu kami hanya menganggap gempa bumi kecil yang melanda. Tidak lama kemudian Hanif menelefon kami dari Christchurch dan memaklumkan bahawa gempa bumi ini lebih dahsyat dari yang lepas dan ada berlaku kematian... Ya Allah, tanganku terus menggigil, ku lihat wajah anak-anak... terkedu sebentar.

Keadaan kami tidak menentu, tidak tahu apa yang perlu dilakukan sama ada meneruskan perjalanan atau berhenti dimana-mana mencari penginapan. Akhirnya kami bersetuju untuk ke rumah Hanif walaupun kami tahu bahawa kami mengambil risiko yang tinggi kerana kawasan penginapan Hanif juga dilanda gempa bumi. Dalam keadaan tertanya-tanya akhirnya kami sampai di rumahnya pada pukul 5 petang setelah lama berhenti di pertengahan perjalanan, dan kami dapat melihat tembok pemisah antara rumahnya dan rumah jiran telah runtuh. Saba (isteri Hanif) menceritakan pengalaman ngeri mereka, ketika sedang leka mendengar pengalaman dari Saba tiba-tiba rumah Saba bergoyang... hanya Tuhan sahaja yang tahu ketakutan aku ketika itu.

Airport ditutup dan penerbangan kami juga dibatalkan pada hari itu. Terima kasih sekali lagi buat Hanif dan isterinya Saba kerana sudi sekali lagi menumpangkan kami tidur walaupun ketika kami sampai elektrik telah terputus (Alhamdulillah pada pukul 7 petang ia beroperasi semula). Keadaan di pinggir bandar ketika itu agak teruk dengan keadaan jalan yang retak dan salur air dalam tanah yang pecah. Aku tidak dapat membayangkan bagaimana teruknya keadaan di tengah-tengah bandar ketika itu..

Sepanjang berada di rumah Hanif, kami mengalami banyak siri gegaran susulan gempa bumi. Walaupun ia tidaklah sedahsyat gempa bumi yang sebenar kerana ia hanyalah susulan, namun ia sudah cukup menakutkan dan menginsafkan. Ketika gegaran susulan berlaku, ia akan diiringi dengan bunyi yang menakutkan (seperti bunyi angin yang kuat) dan segalanya bergoyang. Anak keduaku mula menangis kerana takut dan tidur kami sering dikejutkan dengan bunyi dan gegaran yang agak kuat.

23 Februari 2011



Keadaan yang sesak di Airport Christchurch sehari selepas gempa bumi berlaku.

Keesokan harinya penerbangan kami dijadualkan pada pukul 5.40 petang, terima kasih buat Cikgu Jaafar dan Hanif kerana sudi menghantar kami ke airport. Apabila ku lihat siaran tv di sini yang menyiarkan perkembangan gempa bumi di Christchurch sayu pasti bertandang di hatiku, kini Christhurch tidak seperti 5 hari sebelum kejadian berlaku.. kerana 5 hari sebelum gempa bumi kami berada di situ, melihat kecantikan dan keunikan bandarnya, merakam memori indah bersama keluarga di bumi Christchurch.. kini ia hanya tinggal sejarah untuk dikenang, Christchurch tidak seperti dahulu lagi... :'-(

Alhamdulillah kami selamat mendarat di bumi Auckland pada pukul 8.15 malam. Kepulangan kami bersama sejuta kenangan yang pasti lestari dalam ingatan.. pengalaman yang penuh berwarna-warni, yang penuh suka dan duka serta kisah yang menyayat hati...





Lihatlah... kesan runtuhan gempa bumi pada bulan September tahun lepas masih lagi dapat dilihat, kini penderitaan mereka bertambah lagi...

( Bersyukurlah kita atas nikmat yang diberikan kepada kita)











Bangunan-bangunan lama yang sempat ku rakam sebelum ianya kini hanya tinggal kenangan sahaja... hanya terakam dalam memori.





Mungkinkan situasi ini dapat dilihat lagi pada masa akan datang???? Bermain catur dalam keadaan yang tenang sambil dikelilingi dengan ramai pelancong-pelancong atau kawasan ini akan jadi seperti bandar mati??



Di belakang ini merupakan kawasan taman bunga.. sangat cantik...





Kini bangunan di belakang (Cathedral Cove) anak-anakku hanya tinggal kenangan, telah runtuh menyembah bumi. Kemegahan dan aset berharga rakyat Christchurch telah diragut... :(



(sumber dari Google Image)







Di Christchurch juga terkenal dengan tramnya.



Tidak dapat aku bayangkan seandainya ketika gempa bumi kami masih berada dalam bas ini... nau'zubillah



Patung ini juga telah jatuh menyembah bumi 5 hari selepas tarikh gambar ini dirakam.



Bersyukur ya Allah, kerana anak-anakku masih mampu tersenyum . semoga keriangan ini terus mengiringi kehidupan mereka, dan semoga mereka dihindarkan dari mara bahaya..ameeennn





Inilah antara keunikan bandar Christchurch, punya cerita yang pelbagai serta kehidupan yang berwarna-warni.. semoga warna-warna indah akan muncul kembali dan Christchurch akan menjadi satu kawasan yang punya daya tarikan untuk menggamit pelancong-pelancong serata dunia kembali menjejakkan kaki ke bumi Christchurch seperti sediakala...



Terima kasih buat Saba, Kak Sidrah dan Kak Mas kerana sudi melayan dan menjamu kami.. jasa kalian akan ku kenang selagi nadi masih berdenyut.. Insya Allah.. semoga Allah membalas budi baik kalian sekeluarga..ameeennn

 

Salam Bersambut, Ukhuwah Bertaut

(semua gambar yang dirakam adalah hak peribadi tuan punya blog kecuali yang telah dinyatakan sumbernya, tidak boleh disalin semula tanpa keizinan tuan punya blog)


 

 

Dimanakah Kedudukan Memberi Salam Dalam Majlis Rasmi?


Kenapa aku nak menulis tentang tajuk ini? Kelmarin aku menghadiri satu majlis rasmi di sini. Aku sangat tertarik dengan cara pengerusi majlis menguruskan perjalanan majlis tersebut.  Sepertimana biasa, bila majlis rasmi tentulah ada ucapan-ucapan dari pembesar-pembesar yang ada.

Semasa mendengar ucapan mereka, ada sesuatu yang mengetuk otak aku untuk berfikir.

Dimanakah sepatutnya kita ucapkan salam semasa memberi ucapan?



Bila difikir kembali, kalau kita memberi salam bila bertemu seseorang, kita akan mendahulukan salam dari namanya:

Assalamualaikum Cikgu...


Assalamualaikum Pak Mat...


Assalamualaikum Ayah...



Tapi bila dalam majlis rasmi, aku perasan ada kecenderungan untuk kita meletakkan salam di hujung alu-aluan kita kepada yang hadir. Mari kita lihat dua contoh dibawah.

nota - Aku tidak mengedit apa-apa ucapan tersebut, aku copy dari hasil yang diperolehi melalui carian google.

Contoh satu - Bacaan bismillah dipangkal dan salam di hujung.



TEKS UCAPAN ALUAN KETUA PENGARAH FRIM,
Y.BHG. DATO’ DR ABD. LATIF MOHMOD
SEMPENA PERASMIAN
“TECHNICAL SEMINAR ON TIMBER IN CONSTRUCTION”
DI HOTEL LEGEND, KUALA LUMPUR.
17 NOVEMBER 2011 (KHAMIS), 9.45 PAGI


Terima kasih Saudari Pengacara Majlis,
Bismillahirrahmanirrahim.
Yang Berhormat Tan Sri Bernard Dompok,
Menteri Komoditi dan Perladangan Industri,
Yang Berhormat Datuk Aaron Ago Dagang,
Chairman Malaysian Timber Council (MTC)
Yang Berusaha Mr Cheah Kam Huan,
CEO Malaysian Timber Council (MTC)
Dif-Dif Jemputan, Y.Bhg. Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.
Assalamualaikum w.b.h., Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.



1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur kerana sudi menjemput....



Lihat contoh ni pula, salam di awal serta didahulukan dengan ucapan bismillah...

TEKS UCAPAN
Y.BHG. PROF. DATO' IR. DR. RADIN UMAR BIN
RADIN SOHADI
KETUA PENGARAH, JABATAN PENGAJIAN
TINGGI KPT
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN
KARNIVAL PENGAJIAN TINGGI NEGARA 2009
17 JANUARI 2009 /SABTU /10.00 PAGI


Bismillah-ir Rahman-ir Rahim
Asalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh
dan Salam Sejahtera
Yang Dihormati Saudara / i Pengacara Majlis
Y. B. Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin
Menteri Pengajian Tinggi Malaysia
Y. B. Dato’ Sri Hishammudin Tun Hussein
Menteri Pelajaran Malaysia
Y. B. Datuk Ir. Haji Idris Haji Haron
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
Y. B. Datuk Dr. Hou Kok Chung
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi



Pandangan peribadi aku, sewajarnya kaedah kedua yang digunakan. Aku tidak rasa ianya salah dari segi protokol. Kalau pembaca rajin, cuba google ucapan rasmi yang melibatkan istana. Adakah salam di awal, atau di hujung. Aku pun kejap lagi nak cuba cari, adakah "kedudukan, pangkat dan darjat" lebih tinggi dari memberi salam? atau sebaliknya.

Sekian, wasallam.

nota kaki - majlis yang dihadiri adalah majlis ilmiah anjuran penuntut Malaysia di Auckland.

Gambar terselit...



 Ini bukan gambar majlis yang dihadiri kelmarin, tapi gambar diskusi bersama Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi suatu masa dahulu


Tulah Siapa Suruh Tidur Petang..

Adeiiiiii, nak tergelak pun ada. Alkisahnya anak-anak aku ni jarang yang amat tidur petang. Mana taknya baru balik dari sekolah tak sampai lima minit pun berehat, nanti ada je ler yang mengetuk pintu ajak main. Masa tu mulalah si ibu jadi tarzan “No main-main, eat and pray first!”. Anak mat salleh ni bukan faham bahasa, depa tak perlu solat Zuhur, makan tengahari pun cuma kentang goreng sahaja, tu yang tak sampai lima minit balik dari sekolah dah mula nak main.


Nak dijadikan cerita petang semalam seharian hujan lebat, jadi anak-anak aku ni terpaksalah berkurung dalam rumah. Agaknya bosan punya pasal, anak kedua aku pun tertidur padahal dialah yang paling liat tidur siang. Bangun je dah petang, lepas tu mulalah gelabah sebab dah lewat…. Nak tahu lewat apa? hahaha, rupa-rupanya dia mengigau “Ibu, kenapa tak kejut Akak Azi, kan dah lewat nak pergi sekolah ni” katanya dengan muka macam nak nangis. Kami suami isteri pun tergelak sakanlah bila melihat aksinya, tapi sebab nak dengki kat anak punya pasal kami pun duk layan ler mamai dia tu “Haaaa, cepat mandi kang lewat pulak pergi sekolah” cik hubby menyakat. Aku pun menambah perisa lagi “Abang nanti ibu nak ikut ek hantar anak-anak ke sekolah”. Muka kami punyalah serius, padahal dalam hati menahan ketawa. Si Kakak Mizah pun sama menyakat “Kakak pun nak bersiap pergi sekolah ni”..hahahaha.


Selesai sahaja Akak Azi mandi, si abahnya pun siap tunggu dalam kereta, kami semua menuju ke sekolah (punyalah dahsyat nak pekenakan Akak Azi..hehe), sampai sekolah Akak Azi terpinga-pinga sebab sekolah lengang. Masa tu nak pecah perut kami gelak, Akak Azi masih lagi dalam keadaan mengigau tak faham, kesian pula aku melihatnya. Aku pun selaku ibu terus peluk dia dan cakap “Akak Azi, Akak Azi mengigau ni… ni petanglah sayang bukan pagi, tulah siapa suruh tidur waktu petang, kan dah mengigau”…. nak tahu apa yang berlaku? Akak Azi terus menangis….. olorrrrr kesiannya anak ibu.


Teringat pula aku masa di tingkatan dua dulu, kes yang sama macam Akak Azi. Bangun-bangun je tengok jam dah pukul 7, apalagi berdesup aku bangun dan terus gosok baju sekolah.. masa tu arwah abah pun sama kenakan aku “Cepat mandi, nanti lambat pergi sekolah”..hahaha. Rupa-rupanya aku bangun pukul 7 malam bukan 7 pagi. Cik hubby lagi teruk bangun je terus nangis sebab dah lewat bangun tak sempat nak ke sekolah…. tapi nasib baik arwah ibu mertua aku tak kenakan dia…hahaha.


Inilah akibatnya kalau tidur waktu petang, aku rasa pasti ramai yang ada pengalaman macam yang aku ceritakan ni. Mehlah share cerita lucu ni bersama…hahahaha (sambung gelak kes Akak Azi semalam….)





Akak Azi yang sering membuat kami ketawa..



p/s: Blog ucualong ini dikongsi oleh aku (Along) dan cik hubby (Ucu), kadang-kadang suamiku yang menulis entri, dan kadang-kadang aku yang menulis. Kami ikut giliran (tapi biasanya aku yang lebih..hehe)…:)

Gelombang Ombak Rindu di New Zealand

Wah... khabarnya di Malaysia sekarang ni dilanda demam Ombak Rindu.  Bila try google tadi, kutipan setakat semalam dah melebihi 9 juta. Ramai juga bloggers yang buat review tentang filem ni.

Kami di sini juga tak ketinggalan, mengambil sempena tajuk Ombak Rindu, kami pun nak buat review juga. Tapi bukan review tentang filem tu, review tentang gambar-gambar lama yang pernah kami ambil berkaitan dengan ombak di New Zealand ni....hehehe. Peminat filem ni jangan marah ye.

Layannnn.....


















Teruskan Melangkah Ke Depan Sayang..

Aduiiiiii, bukan main romantis lagi tajuk yang digunakan, siap bersayang-sayang lagi. Sesekali membungakan bahasa apa salahnya kan.. Sebenarnya hatiku sayu untuk menaip entri ini, pelbagai perasaan yang ada ketika ini, semuanya bercampur baur.

Sebagaimana yang rakan-rakan sedia maklum, Insya Allah Julai atau Ogos tahun depan merupakan bulan terakhir kami hidup sebagai perantau, dan kesayuan hati untuk meninggalkan bumi New Zealand sudah kami rasai sekarang ini. Anak-anak pasti akan merindui segala kenangan alam persekolahan, merindukan teman-teman dan guru-guru mereka.

Semalam telah berlangsung majlis penyampaian sijil buat pelajar-pelajar yang terpilih di Oteha Valley School. Alhamdulillah anak sulungku, Kakak Mizah dan anak keduaku, Akak Azi telah terpilih sebagai salah seorang penerima sijil kecemerlangan. Mungkin inilah tahun terakhir mereka mempunyai peluang dan pengalaman sebegitu di sini kerana akhir tahun depan mereka sudah berada di tanah air. Sedih juga bila mengenangkan kelak mereka akan berpisah dengan rakan-rakan dan guru-guru yang mereka amat sayangi, namun hidup perlu diteruskan.

Anak-anak abah dan ibu, andai suatu masa nanti coretan ini dibaca kembali olehmu, ingatlah pesan kami, teruslah melangkah ke depan dalam mencipta kejayaan dan kegemilangan. Andai rebah bangkitlah sayang jangan dibiar duka terus bertapa kelak musnah masa depanmu. Doa kami sentiasa mengiringi kalian agar diberkati dan dirahmati hidupmu dunia dan akhirat... amin.

Wajah ceria anak-anakku:

 





Kakak Mizah.... teruslah berjuang dalam menggapai cecitamu







Akak Azi, moga semangat terus bersamamu dalam mencipta kejayaan



Turut berasa bangga apabila anak-anak jiran juga terpilih:







Gambar terselit:



Fesyen rambut sebegini bukanlah menjadi satu kesalahan disiplin bagi sistem sekolah di New Zealand.


 



Zaman sekarang.. iPad dimana-mana.



Sekadar jurnal alam maya buat tatapan dikemudian hari. Sekian dari kami.