Catatan pertama di bumi tercinta

Salam buat semua,

Fuhhh.... itulah yang mampu diluahkan buat masa ini. Alhamdulilah, setelah bertungkus lumus buat sekian lamanya akhirnya kini kami semakin boleh bernafas dengan selesa.

Dua minggu terakhir kami di bumi NZ, begitu memenatkan. Bertungkus lumus kami menyiapkan barang-barang yang akan dihantar melalui kontena dan juga mengemas rumah. Barang-barang perlu kami susun rapi di dalam kotak dan ianya mestilah tidak melebihi kouta yang telah ditetapkan. Jadi kami ni asyik buka dan bungkus kotak jerlah. Tentang part kemas rumah tu, siapa yang pernah baca entri sebelum ini, pasti sudah maklum betapa ketatnya urusan rumah sewa di NZ. Kalau tidak memang melayang ler duit cagaran kami tu.

Perjalanan pulang kami ke sini juga dipermudahkan. Walaupun hingga ke saat-saat akhir, kami terpaksa packing semua beg-beg yang ada supaya ianya tidak melebihi had yang ditetapkan. Kami cuba mengelakkan sebarang masalah yang mungkin muncul. Nak packing di airport pastinya lebih menyusahkan. Alhamdulilah kami hanya terlebih satu kilo dari had maksimum, dan tiada charge yang dikenakan.

Terima kasih sahabat-sahabat yang mengiringi kepulangan kami hingga ke pintu masuk.

Alhamdulilah selesai sudah cabaran kami di bumi rantau. Ketibaan kami disambut oleh dua sahabat, saudara Adnan dan juga Dr. Saufi. Kedua-dua mereka pernah merantau di bumi NZ. Dua malam kami menginap di rumah saudara Adnan. Ucu (suami) tidak mengambil masa yang lama, sejam lepas mendarat, beliau terus keluar dengan saudara Adnan untuk uruskan banyak perkara. Keletihan badan cuba dilawan. Banyak urusan dapat diselesaikan pada hari pertama.

Hari kedua baru kami menjengah rumah kami yang selama ini disewakan. Aduhhhh.... terduduk kami melihat keadaan rumah. Walaupun berat untuk menyatakan, namun realitinya kita perlu membuat transformasi minda masyarakat kita. Semak samun, kekotoran, kerosakan, dan lain-lain. Berlegar-legar difikiran kami, bagaimana mereka sanggup hidup dalam kekotoran sebegitu. Hampir seminggu kami mengambil masa mengemaskan segalanya. Kini, kami berpuashati, rumah kami dah hampir kembali menjadi rumah yang selesa untuk didiami.

Ada beberapa perkara lagi yang ingin dikongsi dan diluahkan, insya Allah akan dibuat pada entri akan datang.

Sebagai penutup, kami kongsikan gambar yang diambil dari pesawat semasa penerbangan pulang ke Malaysia.